Khamis, 30 Januari 2014

Sia Sia Amalan Jika...

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



1. Hasad
" Beringatlah kamu daripada hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan sebagaimana api memakan kayu." (Riwayat Abu Daud)

Hasad ialah perasaan tidak selesa jika melihat orang lain mengecap sesuatu nikmat, dan mengharapkan nikmat itu lenyap daripada saudaranya.

Alangkah ruginya solat yang dilakukan sehari hari. Pahala hilang kerana berasa iri hati melihat jiran berkereta baharu!



2. Menghina saudara seiman
" Cukuplah seseorang itu melakukan kekejian dengan menghina saudara Muslimnya!" (Riwayat Muslim)

Ia bermula dengan satu sikap, iaitu mudah memandang hina orang lain. Lalu diterjemahkan dengan perkataan dan perbuatan yang menghina saudaranya.

Namun sekadar dengan perasaan, akibatnya sudah cukup dahsyat.

3. Takbur
Permulaannya sikap mudah memandang hina orang lain. Kemudian terbentuklah satu lagi sikap keji iaitu takbur.

Takbur ialah perasaan diri lebih baik, mulia sedangkan orang lain hina dan rendah kedudukan daripada dirinya. Cukuplah  dengan sekelumit takbur di hati, tertutuplah pintu syurga untuk kita.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah : "Seorang lelaki yang suka bajunya cantik dan kemas, sandalnya yang baik. Bagaimana dengannya?"

Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah Maha Cantik, dan suka akan kecantikan. Takbur itu menyanggah kebenaran (kerana ego) dan menghina orang lain!" (Riwayat Muslim)

Rasulullah mengingatkan hal ini dengan mengisahkan : "Ada seorang lelaki berkata : 'Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si fulan!' (dia memandang hina saudaranya si fulan kerana sentiasa dalam maksiat).

Lalu Allah berkata : 'Siapakah yang berhak memutuskan ke atasKu untuk tidak mengampunkan si fulan? Sesungguhnya Allah telah ampunkan si fulan, dan Aku gugurkan segala amalanmu!' " (Riwayat Muslim)

Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga, sesiapa yang ada dalam hatinya walau sebesar zarah rasa takbur!"

4. Bergaduh sesama Muslim
"Dibukakan pintu syurga setiap hari Isnin dan Khamis, lalu diampunkan semua manusia yang tidak mensyirikkan Allah, kecuali orang (daripada mereka) yang saling bertelingkah.

Maka, diseru : "Tangguhkan dua orang ini sehingga mareka berbaik. Tangguhkan dua orang ini sehingga mereka berbaik." (Riwayat Muslim)

Marilah sama sama kita menjaga hubungan baik sesama kita. Mudah mudahan diredhai Allah dan amalan kita tidak sia sia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan